Sunday, September 13, 2009

Bapa saya sudah punya "isteri kedua", Toyota Vios 1.5J.

Sudah lama tak cakap tentang kereta, kali terakhir berkenaan Proton Exora yang nampaknya mencatatkan jualan memberangsangkan, semakin banyak di jalan-jalan raya yang saya lalui. Jelas sekali orang tak kisah membeli MPV yang kurang dari segi rupa, asalkan luas untuk muat sekeluarga.

Memandangkan nampaknya semua pegawai polis sudah punya kereta baru, bapa saya juga punya keinginan serupa. Keadaan ini masih berlaku walaupun beliau sudah memiliki Proton Wira 1.3 Aeroback manual yang dibeli pada 2002, yang kelihatan masih cantik dan baru, serta tidak menghadapi masalah serius.

Saya tidak pasti warna apakah yang bapa saya pilih, kerana ada 4 pilihan warna metalik.

Sesudah lama menimbang untuk membeli kereta baru, akhirnya ayah saya telah membuat keputusan, membeli sebuah Toyota Vios 1.5J automatik, memandangkan beliau sangat mempercayai jenama Toyota dalam pertimbangan membeli kereta.

Lebih kurang beginilah rupa Proton Wira bapa saya yang telah dijual dengan harga RM11,000 sahaja.

Kereta Proton Wira Aeroback yang saya suka itu pula, nampaknya terpaksalah dikorbankan dengan harga tukar-beli sebanyak hanya RM11,000. Beginilah nasib kereta Proton masa kini, dibeli pada harga RM46,000 pada 2002.

Suku nilai selepas 7 tahun. Perodua pun tak seteruk ini.

Insya-Allah, kereta tersebut bakal diterimanya sebelum Khamis ini, jadi bolehlah beliau melaram sakan dengan kereta tersebut di Hari Raya nanti. Mungkin saya tidak dibenarkan memandunya, itu saya tak pasti.

Dengan ini, bolehlah saya duduk di kerusi penumpang dan melayan lagu-lagu sedap dan menarik di telefon Sony Ericsson G705 saya itu, dalam perjalanan pulang ke rumah datuk dan nenek, yang hanya satu jam perjalanan dari kediaman kami.

Tiada beg udara? Alangkah kedekutnya sebuah syarikat bernama UMW Toyota, sanggup gadaikan aspek keselamatan.

Menyusuri laman web PaulTan.org, saya melihat kritikan yang terlalu banyak kepada Toyota Vios model 1.5J ini.

Antaranya, ketiadaan beg udara SRS yang terkenal dan dianggap aksesori standard untuk kenderaan berjenama dari Jepun, ketiadaan rim sport yang hanya terdapat pada model taraf lebih tinggi, dan juga ketiadaan lampu kabus yang juga dianggap satu keperluan asas.

Walau bagaimana pun, ciri-ciri keselamatan lainnya pada sebuah Toyota masih kekal pada model pilihan bapa saya ini, seperti:-

ABS (Sistem brek anti-kunci) mengelakkan tayar daripada terkunci dan menstabilkan prestasi membrek walaupun dalam keadaan jalan licin.

Bahagian belakang kereta Toyota Vios, ruang simpanan 470 liter.

EBD (Sistem Agihan Daya Membrek Elektronik) mengagihkan kuasa membrek kepada setiap tayar berdasarkan keadaan pemanduan yang berbeza dan muatan kenderaan yang pelbagai, yang mana membantu fungsi ABS di atas.

BA (Bantuan Brek) mengesan kecenderungan pemandu untuk menggunakan brek kecemasan dan memberikan kuasa membrek tambahan dalam keadaan sedemikian.

Badan GOA (Global Outstanding Assessment) pula ialah satu jenis struktur badan kereta yang direka untuk menyuraikan kuasa impak kepada keseluruhan rangka badan kenderaan, seterusnya mengurangkan kecederaan kepada penumpang.

Mungkin rupa bentuk kenderaan ini tidak saya gemari, namun ciri keselamatan yang terdapat di dalamnya masih lebih baik daripada kebanyakan kereta berjenama tempatan, selain kekuatan utama enjin VVT-i yang begitu diyakini sejak sekian lamanya.

Pada harga RM73, 525 sebuah, tentukanlah sendiri apakah kenderaan ini layak mendapat harga sedemikian.

Tahniah kepada bapa saya atas kereta baru, diharap dapat memotivasikan beliau untuk terus bekerja dengan cemerlang.

Lagipun tiada lagi soalan dan kenyataan standard pegawai-pegawai polis lainnya yang perlu dihadapi seperti:-

Gambar Hiasan

“Bila mahu tukar kereta?”

“Gaji naik, kereta pun kenalah bergaya,”

“Tak layanlah kereta Malaysia, sekarang Vios dah makin murah,”

Amboi, seronok benar jadi polis kan, atau adakah insan-insan dalam sektor lain juga begini keadaannya?

Pensyarah Strength of Materials saya, yang bekerja di tiga universiti, UPM, Unisel, dan KLIUC juga tak segan silu gunakan Proton Iswara walaupun mendapat ijazah pertama dari Amerika Syarikat, dan ijazah sarjana serta PhD dari United Kingdom.

Entahlah, saya seperti curiga dengan para anggota polis yang lebih kecoh dengan rakan sekerja soal kereta dan harta benda berbanding soal kerja dan tugas hakiki.

Bapa saya juga turut pernah menyatakan kekecewaan serupa kepada rakan-rakan beliau yang bersikap sebegini.

Pada saya, mentaliti sedemikian rupa, jika tidak dikawal, boleh meningkatkan kecenderungan untuk menerima rasuah dan melakukan salah laku.

Kesimpulannya untuk saya jadikan pengajaran:-

1) Hiduplah dengan sederhana, walaupun ilmu tinggi melangit atau harta setinggi gunung.

Seperti pensyarah saya yang bekerja di 3 universiti itu, hidupnya yang sederhana memungkinkan beliau berpoligami dan kekal berlaku adil. Hebat kan?

2) Bekerjalah dengan lebih komited kerana Allah S.W.T, kerana pahala yang diperoleh hasil pekerjaan yang dijalankan secara ikhlas jauh lebih bernilai daripada jumlah semua kereta Toyota Vios di dunia ini.

3) Rupa bentuk bukanlah perkara utama, paling penting adalah keselesaan dan nikmat yang diperolehi.

Konsep ini boleh diadaptasi bukan setakat dalam hal memilih harta benda, malah boleh juga dalam hal memilih teman hidup, misalnya seorang yang rupanya nampak lebih tua daripada usia.

Jika selesa dan nikmat untuk bersama melayari bahtera rumah tangga, apalah masalahnya kan?

Diharapkan Toyota Vios ini akan memberikan nikmat yang layak diperolehi oleh bapa saya dan kami sekeluarga, berdasarkan harga yang ditawarkan untuk membelinya.

[Via http://firdausrosli.wordpress.com]

No comments:

Post a Comment